Orang muda adalah asset besar ummat. Kecil-kecil mereka tidak mestinya pandir. Yang besar-besar pula tidak mestinya benar.
Abu Jahal lahir dulu daripada Nabi, tetapi tidaklah lebih benar pula daripada Nabi s.a.w.
Firaun hidup lebih dahulu dari Musa a.s., tetapi tidaklah lebih benar pula daripada Musa a.s.
Sebab itu, suatu yang bahaya jika benar dan salah diukur dari lamanya hidup seseorang, kerana tak jarang terdapat ramai orang muda yang umurnya mungkin kata orang, masih setahun jagung, tetapi pemikirannya sudah melampau waktu menjual jagung !
Barangkali sesetengah orang yang memperlekehkan orang muda, mereka terlupa bahawa mereka pernah melalui zaman itu juga.
“Umur baru setahun jagung, sudah pandai menjawab pula.”
“Kau tu hingus pun tak pandai lap lagi, tak payahla nak ajar kami yang lebih senior ni.”
Ada beza antara perlekeh dengan kritik.
Saidina Umar Al-Khattab r.a. adalah antara sahabat Nabi s.a.w. yang sangat bijak dalam memanfaatkan tenaga muda. Ia mendorong dan membimbing mereka, bukan melakukan ratib sebagaimana sesetengah orang yang hanya mahu menundukkan orang muda dengan cara mendiamkan mereka.
Apa Mimpi Saidina Umar?
“Bermimpilah !” kata Saidina Umar kepada para sahabat yang duduk-duduk bersamanya.
“Ayuh, nyatakan, apa mimpi kalian?”
“Aku bermimpi,” kata seorang sahabat, “…agar bangunan ini dipenuhi dengan emas yang boleh aku infakkan di jalan Allah s.w.t.”
“Aku pula,” kata yang lainnya, “…agar ruangan ini dipenuhi permata dan mutiara yang boleh aku infakkan di jalan Allah s.w.t.”
Tanya mereka, “Apa pula mimpimu, hai Umar?”
“Aku bermimpi,” kata Umar, “…kalau lahir lebih ramai orang-orang seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muaz bin Jabal.”
Itulah cita-cita dan mimpi Saidina Umar.
Cita-citanya adalah untuk membina generasi, untuk melahirkan lebih ramai lagi pewaris baru dari kalangan orang muda yang faham Islam, sedar tanggungjawabnya dan bisa memimpin ummah.
Umar Melibatkan Anak Muda Dalam Proses Syura
Proses syura di zaman Umar pastinya bukan suatu yang biasa-biasa kerana zaman Umar merupakan zaman berkembangnya Islam ke banyak kawasan-kawasan baru dan banyak ijtihad-ijtihad baru mula diperlukan. Maka, pastinya proses syura memerlukan kepada kebijakan serta idea-idea baru untuk membangunkan ummah dalam kapasitinya yang lebih luas.
Graduan dari perang Badar yang masih hidup dilibatkan oleh Umar dalam proses syura ini disebabkan oleh kemuliaan mereka yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul serta pengetahuan mereka terhadap Islam.
Namun, tak hanya itu, Umar juga melibatkan ramai orang muda. Beliau tahu yang golongan-golongan orang lama yang masih ada sedang menghampiri akhir hayat mereka dan akan pulang ke pangkuan Tuhan, maka beliau perlu segera merekrut dan membina para kader-kader baru untuk terlibat secara serius dalam proses menentukan hala tuju ummat.
Abdullah Ibn Abbas adalah salah seorang daripada mereka. Selain Ibn Abbas, kebanyakan orang muda yang dipilih juga adalah dari kalangan mereka yang elok bacaan dan fahamannya terhadap Al-Quran.
“Jangan fikir diri kamu terlalu kecil !,” kata Az-Zuhri kepada beberapa orang muda, “…kerana Umar Al-Khattab bila menghadapi masalah yang sangat susah, dia akan memanggil orang muda, meminta nasihat mereka dan bergantung harap kepada ketajaman minda mereka.”
Umar Dan ‘Inner Circle’nya
Antara teori untuk membantu kejayaan seorang pemimpin itu adalah dia mempunyai circle atau kumpulan pemikirnya sendiri. Itu antara yang disebutkan oleh John C Maxwell melalui buku motivasinya, Go To Gold. Seorang pemimpin tidak bisa bersendirian dalam melakukan keputusan-keputusan besar untuk ummat.
Tak kurang bagi Umar. Beliau juga mempunyai kumpulan pemikir yang selalu rapat dengannya, yang selalu bersama dengannya memecahkan kebuntuan dalam menyelesaikan permasalahan ummat.
Pastilah bila disebutkan kumpulan pemikir bagi orang sehebat Umar, kumpulan itu pastinya kumpulan yang hebat juga.
Di kalangan ahli kumpulan pemikir itu terdapat sahabat-sahabat yang senior seperti Saidina Uthman bin Affan, Abd Rahman bin Auf, Ali bin Abi Talib, Muaz bin Jabal dan lain-lain.
Dan yang pasti tidak pernah Umar tinggalkan adalah penyertaan anak muda walaupun dalam kumpulan pemikir sebegini.
Ibn Abbas adalah salah seorang anak muda yang terlibat dalam kumpulan pemikir ini.
Muda, tapi penuh kebijakan.
Pastinya kita ingat sebuah kisah ketikamana Saidina Umar Al-Khattab pernah menguji sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang lebih senior tentang maksud di sebalik penurunan surah An-Nasr.
“Apa pendapat kamu semua…” tanya Umar, “…tentang firman Allah s.w.t. (An-Nasr :1) Ketika telah datang pertolongan Allah dan kemenangan…(sehinggalah akhir surah)?”
“Kita diperintahkan untuk memuji Allah dan memohon keampunan dari-Nya apabila diberikan pertolongan.” Jawab sebahagian mereka.
Sesetengah mereka hanya berdiam diri. Umar beralih kepada Ibn Abbas.
“Adakah begitu pendapat kamu?” tanya Umar kepadanya.
“Tidak.” Jawabnya. “Kalau demikian, apa jawapannya?”
“Ayat itu,” katanya, “…menunjukkan ajal Rasulullah s.a.w. Allah memberitahu baginda tentang wafatnya. Apabila datang pertolongan Allah dan pembukaan itu ialah pembukaan kota Makkah, itu adalah petanda dekatnya ajalmu. Jadi hendaklah kamu memuji Tuhanmu dan meminta pengampunan-Nya kerana sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat.”
Umar berkata, “Apa yang aku tahu tentang surah ini tidak melebihi apa yang kau tahu.”
Penutup : Mimpi Gaya Umar – Mari Bina Generasi
Kalau kita mahu bermimpi, mari bermimpi gaya Umar. Mimpi yang penuh ketinggian cita-cita setinggi angkasa, yang penuh mulia semulia harga syurga.
Apakah yang lebih besar dari mimpi membina generasi baru?
Mahu kaya tidak ada masalah, tetapi harta itu hanya kekal manfaatnya selama ia masih ada saja. Bahkan harta akan begitu cepat habis. Berbeza dengan membina generasi, jika idea dan wawasan kita terus-menerus mengalir ke dalam tubuh ummat sebagaimana Umar, maka kita merasai manfaatnya biarpun kita telah tiada di atas muka bumi ini.
Sekali kita mendidik generasi dengan kebaikan dan mereka mewariskannya pula kepada generasi baru, maka berkali-kali ganda pula kebaikan untuk kita. Gaya MLM gitu.
Jangan perlekehkan generasi muda atau generasi baru kerana kejahilan atau kegopohan mereka. Bimbing dan binalah kefahaman dalam diri mereka terhadap Islam. Kemudian, bangunkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam diri mereka.
Generasi baru adalah pewaris kepada generasi lama yang ada. Kita mahukan generasi yang lebih baik dari generasi sebelumnya.
Maka, untuk membentuk generasi yang sedemikian, ia berbalik kepada usaha dan perancangan kita semula, apakah kita telah bercita-cita dan serius seperti Umar?
cc : langitilahi.com
0 Komentar